Rakyat Singapura Berbogel Demi Pakaian Dalam Percuma
Puluhan pelanggan sanggup bermalam dalam keadaan separuh bogel di luar sebuah butik fesyen terkenal antarabangsa di sini semata-mata untuk mendapatkan pelbagai pakaian berjenama mahal secara percuma dalam satu kempen promosi unik yang dibuka sejak pukul 9 pagi ini.
Stesen televisyen tempatan Channel NewsAsia melaporkan, kesemua pelanggan lelaki dan wanita yang hanya memakai coli dan seluar dalam malah tidur di luar Desigual, butik ternama dari Barcelona, Sepanyol yang terletak di kompleks beli-belah popular Orchard Central sejak lewat malam tadi.
“Saya tidak tahu bila pelanggan awal akan mula beratur, maka saya dan suami setuju untuk datang pukul 11 malam tadi, bahkan kami lihat ramai sudah lama pun berbaris panjang serta semua tidur dalam keadaan separuh bogel macam kami juga,” kata surirumah, Sharene Ong, 39 tahun.
Dua pelancong asing tidak ketinggalan menyertai promosi separuh bogel anjuran butik jenama Desigual di Singapura hari ini.
Menurut jurucakap butik tersebut, kempen istimewa yang dikenali sebagai Desigual’s Seminaked itu menawarkan aneka pakaian pilihan khusus untuk kumpulan 100 pelanggan pertama hari ini sebagai pembuka tirai promosi panjang jualan festival hujung tahun.
Desigual telah pun melancarkan kempen separuh bogel itu sejak 2005 lalu yang melibatkan lebih 50 cawangan butik tersebut di seluruh dunia termasuk Madrid, Paris dan Tokyo manakala di Singapura, ia merupakan kempen julung kali diadakan.